Hujjah kerana Allah

Type a nickname into the box and then press the connect button to start chatting!

Free chat provided by CentralChat.

Saturday 21 January 2012

Manifesto Pakatan Rakyat Negeri Sembilan PRU 13

MANIFESTO PAKATAN RAKYAT NEGERI SEMBILAN PILIHAN RAYA UMUM KE 13 (PRU13)

“Pakatan Rakyat Prihatin Rakyat” - Tonggak Nan Sembilan

Tonggak 1: Rakyat Itu Tuan

1.0 Pentadbiran dan Kewangan Awam

1.1 Mewajibkan Menteri Besar dan Ahli EXCO mengisytiharkan harta.
1.2 Menguruskan kewangan Negeri secara berhemat dan memastikan tiada ketirisan dan pembaziran dalam belanjawan Kerajaan.
1.3 Mengamalkan sistem tender terbuka bagi perolehan dan projek pembangunan sektor awam.
1.4 Menubuhkan Badan Semak dan Tara untuk meningkatkan keamanahan, ketelusan, kebertanggugjawaban dan membasmi rasuah.
1.5 Menangani kerenah birokrasi dan campur tangan politik dalam pentadbiran awam supaya urusan rakyat dengan jabatan dan agensi kerajaan mudah, cepat, telus dan tanpa rasuah dan pilih kasih.
1.6 Mendemokrasikan pemilihan ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan membuka mesyuarat PBT kepada orang ramai.
1.7 Mendemokrasikan pemilihan ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampong (JKKK).
1.8 Mewujudkan “Enakmen Kebebasan Maklumat” bagi memberi akses kepada rakyat mendapatkan maklumat awam.

**********
Tonggak 2: Rakyat Nan Senang dan Sejahtera

2.0 Ekonomi

2.1 Membangunkan ekonomi secara seimbang, mewujudkan peluang pekerjaan dan merapatkan jurang pendapatan.
2.2 Mengutamakan projek dan kegiatan ekonomi yang boleh meningkatkan pendapatan dan taraf hidup rakyat secara langsung.
2.3 Membangunkan sektor perumahan dan komersial sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi Negeri.
2.4 Membangunan sektor pertanian dengan penekanan kepada pengeluaran makanan, industri pemprosesan makanan dan penyelidikan dan pembangunan pertanian.
2.5 Memajukan tanah terbiar termasuk tanah pusaka adat.
2.6 Meningkatkan pelaburan langsung dalam sektor industri dengan menawarkan pakej insentif pelaburan seragam kepada pelabur dalam dan luar negara.
2.7 Menggalakkan pembangunan sektor industri kecil dan sederhana.
2.8 Mempromosi Negeri Sembilan sebagai destinasi pilihan pelancong tempatan dan antarabangsa.
2.9 Meningkatkan prestasi syarikat-syarikat milik kerajaan Negeri.

**********
Tonggak 3: Rakyat Nan Bertelapak

3.0 Tanah dan Perumahan

3.1 Menukar tanah tempat kediaman milik pajakan (leasehold) kepada milik kekal (freehold).
3.2 Memberi milik kepada pemegang tanah TOL (kecuali rizab jalan, sungai dan seumpamanya) yang telah diusahakan atau diduduki selama 25 tahun ke atas.
3.3 Menjamin tidak menaikkan kadar cukai tanah dan cukai taksiran selama 5 tahun.
3.4 Mensasarkan setiap keluarga memiliki sebuah rumah kediaman mampu milik.
3.5 Memperkasa dasar penggantian tanah rizab Melayu yang diambil kerajaan.
3.6 Melindungi kepentingan dan kedudukan Orang Asal.

**********
Tonggak 4: Rakyat Nan Berilmu

4.0 Pendidikan

4.1 Mewujudkan skim bantuan pendidikan bagi memastikan setiap anak warga Negeri Sembilan mendapat pendidikan sekurang-kurangnya sehingga ke peringkat SPM.
4.2 Memberi bantuan secara sistematik kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis kebangsaan Tamil (SJKT) dan sekolah-sekolah tinggi persendirian.
4.3 Memberi sumbangan sebanyak RM1,500 kepada pelajar yang berjaya mengikuti ijazah pertama dan RM1,000 diploma di IPTA dan IPTS yang diiktiraf.
4.4 Menjadikan Negeri Sembilan hub pendidikan utama di wilayah selatan Semenanjung.

**********
Tonggak 5: Rakyat Nan Berakhlak

5.1 Islam dan Pendidikan Islam

5.1.1 Memperkemas sistem pungutan dan agihan zakat sebagai satu instrumen pembasmian kemiskinan.
5.1.2 Memperkemas pentadbiran wakaf.
5.1.3 Meningkatkan peruntukan kewangan tahunan untuk hal ehwal agama Islam.
5.1.4 Menggalakkan masyarakat Islam menjadikan masjid sebagai pusat kegiatan masyarakat.
5.1.5 Menggalakkan penglibatan ahli qariyah dalam memilih AJK Masjid masing-masing.
5.1.6 Mengembangkan sistem pendidikan sekolah agama rakyat (SAR) secara sistematik.
5.1.7 Melanjutkan pendidikan KAFA sehingga ke sekolah menengah.
5.1.8 Menaikkan elaun guru KAFA kepada RM1,000 sebulan dan memberi elaun RM250 sebulan kepada guru Al Qur’an.

5.2 Agama-Agama Lain

5.2.1 Mewujudkan portfolio hal ehwal bukan Islam.
5.2.2 Memberikan peruntukan tahunan kepada badan-badan induk agama bukan Islam.
**********
Tonggak 6: Rakyat Nan Aman dan Mencintai Alam

6.1 Keselamatan, Jenayah, Gejala Sosial

6.1.1 Memperkasa mekanisma penguatkuasaan undang-undang dan peraturan keselamatan bagi membendung jenayah dan gejala sosial.
6.1.2 Menambahbaik sistem pencahayaan dan sistem keselamatan di tempat-tempat yang kerap berlaku jenayah.
6.1.3 Memberi insentif kepada majikan menyediakan kemudahan pengangkutan kepada pekerja wanita yang berkerja syif malam bagi menjaga keselamatan mereka.
6.1.4 Penguatkuasaan yang lebih ketat terhadap perbuatan merosakkan kemudahan dan harta awam.

6.2 Alam Sekitar

6.2.1 Menguatkuasakan undang-undang dan peraturan yang tidak mengizinkan apa jua pembangunan dijalankan selagi kajian impak alam sekitar dan sosial belum dikemukakan.
6.2.2 Menguatkuasakan undang-undang dan peraturan berkaitan pembuangan sisa industri bagi mencegah pencemaran sungai, tasik, laut, persekitaran dan udara.
6.2.3 Menghijaukan persekitaran dengan mewujudkan banyak taman bunga di taman-taman perumahan dan menanam pokok-pokok di sepanjang jalan raya.
6.2.4 Menjaga kebersihan persekitaran bandar, kampung, kawasan perumahan di estet-estet dan kawasan Felda.
6.2.5 Memulihara rizab hutan simpan, hutan perlindugan hidupan liar, kawasan tadahan air, taman-taman hutan lipur dan rizab hutan bakau di kawasan persisiran pantai.

**********
Tonggak 7: Rakyat Nan Selesa

7.0 Infrastruktur dan Kemudahan Awam

7.1 Memastikan perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih berkesan untuk penduduk bandar dan luar bandar.
7.2 Meningkatkan mutu jalan-jalan raya di seluruh Negeri Sembilan.
7.3 Menyelesaikan masalah gangguan bekalan air di seluruh Negeri Sembilan dan memastikan mutu air sentiasa tinggi.
7.4 Membina dewan komuniti dan taman rekreasi dan memasang lampu jalan di taman-taman perumahan dan kampung-kampung tradisi, kawasan perumahan estet dan kawasan Felda.
7.5 Mewujudkan zon akses kepada internet secara percuma di seluruh Negeri Sembilan.

**********
Tonggak 8: Wanita di Martabatkan, Rakyat Nan Muda Disayangi, Nan Dizalimi Dibela dan Nan Tua Disantuni

8.1 Wanita dan Keluarga

8.1.1 Menyediakan kemudahan penjagaan anak di jabatan-jabatan dan agensi kerajaan dan menggalakkan majikan sektor swasta menyediakan kemudahan yang sama.
8.1.2 Menubuhkan dana usahawan wanita bagi membantu wanita menceburkan diri di dalam perindustrian dan perniagaan.
8.1.3 Memperkenalkan waktu kerja anjal bagi kaum wanita di sektor awam supaya wanita yang bekerja tidak mengorbankan kesejahteraan keluarga.
8.1.4 Memastikan kaum wanita diwakili di dalam Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
8.1.5 Memberi bantuan tahunan RM 500 kepada ibu-ibu tunggal yang layak.
8.1.6 Memberi 7 hari cuti ehsan kepada pekerja sektor awam yang kematian pasangan.
8.1.7 Membuka akaun tabungan permulaan RM100 bagi setiap kelahiran bayi.

8.2 Anak Muda

8.2.1 Menyuburkan semangat sukarelawan, khidmat masyarakat dan suka menjelajah di kalangan anak muda.
8.2.2 Mengadakan projek usahawan muda bagi menggalakkan anak muda menceburkan diri dalam perindustrian dan perniagaan.
8.3.3 Mewujudkan pusat perniagaan dan kebudayaan untuk anak muda.
8.2.4 Memastikan anak muda diwakili di dalam Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
8.2.5 Meningkatkan akses kepada kemudahan-kemudahan sukan milik kerajaan untuk kegunaan anak muda.
8.2.6 Meningkatkan pembangunan sukan.

8.3 Peneroka Felda

8.3.1 Menyokong cadangan mengagihkan tanah Perladangan Felda Sdn. Bhd. kepada generasi kedua peneroka.
8.3.2 Mempercepatkan pengeluaran geran hakmilik tanah kepada peneroka yang telah melunaskan hutang kepada Felda.
8.3.3 Menyokong usaha Felda membina rumah mampu milik di kawasan Felda untuk generasi kedua peneroka.
8.3.4 Bekerjasama dengan Felda menyediakan program pendidikan agama kepada anak-anak peneroka.


8.4 Kebajikan

8.4.1 Memperkasa sistem bantuan kebajikan kepada golongan sasar (warga emas, fakir miskin, golongan berpendaptan rendah, golongan tidak bernasib baik dan orang kurang upaya).
8.4.2 Memberi sumbangan tahunan RM100 kepada warga emas.
8.4.3 Menyediakan InsuranTakaful Kifalah Berkelompok secara percuma kepada warga emas (manfaat kematian RM2,500 akan dibayar kepada waris).
8.4.4 Memberi bantuan pakaian seragam sekolah bernilai RM100 kepada pelajar sekolah rendah dan menengah dari keluarga yang berpendapatan bulanan RM1,500 ke bawah.
8.4.5 Memastikan persekitaran dan prasarana yang akrab OKU di bangunan kerajaan dan menggalakkan sektor swasta menyediakan kemudahan yang sama di premis masing-masing.
8.4.6 Menggalakkan majikan di sektor awam dan swasta memberi pertimbangan istimewa kepada OKU di dalam pengambilan pekerja.
8.4.7 Kerajaan Negeri memberi sumbangan tetap, tertakluk kepada kemampuan kewangan, kepada badan-badan bukan kerajaan yang menjalankan aktiviti kebajikan.

**********
Tonggak 9: Rakyat Nan Berbudaya dan Beradat

9.0 Seni Budaya dan Adat

9.1 Merakyatkan seni budaya setiap kaum.
9.2 Menubuhkan Perbadanan Pembangunan Tanah Adat bagi membangunkan tanah adat yang terbiar.
9.3 Menaikkan elaun Datok Lembaga Adat kepada RM1,000 sebulan dan memberi elaun sebanyak RM250 sebulan kepada Buapak-Buapak.
9.4 Menubuhkan sebuah institusi bagi memperkasakan adat perpatih.

Selamat Tahun Baru Cina Dari PAS DUN Johol

PAS DUN Johol mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua rakan-rakan yang menyambutnya di Johol.




Wednesday 11 January 2012

Antara Imam 5 minit dan Imam 5 Tahun..?


Antara Imam 5 minit dan Imam 5 tahun.

Mungkin tidak sukar untuk memahami ayat ini. Imam 5 minit adalah gambaran imam solat yang tempohnya tidak begitu lama memimpin satu solat fardu, namun pemilihannya sangat ditekankan agar yang dipilih menjadi imam benar-benar layak dan berilmu. Imam mesti di kalangan mereka yang baik bacaannya, alim fiqhnya dan tidak melakukan dosa besar. Di mana sahaja kadang-kadang imam jauh lebih dihormati dan disegani berbanding pemimpin masyarakat. 

Imam 5 tahun pula adalah gambaran kepada pemimpin yang dipilih melalui pilihanraya setiap 5 tahun (atau kurang). Peranannya lebih besar dalam mencorak sebuah negeri dan Negara. Mereka yang membentuk dan menggubal dasar sama ada menjadikan Negara lebih baik atau sebaliknya. Di dalam Negara demokrasi seperti Malaysia, pemimpin yang dipilih biasanya mewakili parti tertentu untuk membentuk sebuah kerajaan. Justeru, melalui pilihanraya rakyat akan memilih pemimpin bukan sekadar menilai kelayakan individu yang menjadi calon bahkan juga pertimbangannya adalah melihat kepada parti yang diwakili atau salah satu daripadanya.
Kedua-dua imam ( pemimpin ) ini mempunyai persamaan. Kedua-duanya memikul amanah. Amanah yang hakikatnya dipilih oleh Allah untuk dipikulnya. Biarpun pilihan itu dilihat dengan usaha makhluk hakikatnya amanah itu adalah pilihan dari Allah untuk menguji sejauh mana nilai kehambaan di dalam memikul amanah tersebut. Kedua-duanya layak ke syurga dengan amanah tersebut begitu juga sebaliknya. Bahkan dengan amanah berat itu menjadikan kedudukan mereka lebih tinggi berbanding orang lain sekiranya bertakwa kepada Allah SWT.

Amanah menentukan kejayaan dan kesejahteraan. 'Skil' yang hebat tanpa sifat amanah yang kuat tidak akan memberi kebaikan. Justeru, dalam memilih imam 5 minit dan imam 5 tahun bukan hanya persoalan 'skil' sahaja yang menjadi penekanan bahkan yang lebih penting adalah sifat amanah dalam diri mereka. Membangun nilai dalam sebuah masyarakat memerlukan pemimpin yang amanah di dalam melaksanakan tugas. Tidak hanya dengan skil yang hebat. Lihat sahaja contoh bagaimana seorang pemimpin yang punya latar belakang dalam bidang ekonomi, gagal mengurus ekonomi dengan baik  akibat tidak amanah. Begitu sebaliknya, walau tidak punya kemahiran namun kerana prinsip amanah yang diamalkan mampu menyelamatkan. 

Di dalam Islam seorang pemimpin itu juga adalah imam untuk rakyatnya. Justeru, kelayakan menjadi pemimpin itu jauh lebih ketat berbanding menjadi imam dalam solat. Cuma bila masyarakat dilanda sindrom 'tak kisah' menyebabkan sesiapa pun boleh dipilih menjadi pemimpin mereka untuk lima tahun sedangkan dalam urusan memilih imam 5 minit mereka begitu teliti memerhati. Seperti Imam Solat juga apabila mereka melakukan kesalahan mereka boleh ditegur untuk memperbaiki kesilapannya, Imam 5 tahun juga begitu. Mereka mesti ditegur apabila melakukan kesalahan bukan terus mengampu dan memuji sehingga membinasakan diri pemimpin itu dan seluruh rakyat. Apabila imam 5 minit terbatal dan hilang kelayakan maka makmum mesti mengambil alih agar solat Jemaah itu diteruskan.  Sebegitu juga imam 5 tahun yang kita lantik, bila mereka hilang kelayakan dan melakukan penyelewengan kita tidak boleh terus membiarkannya. Mereka wajib diganti dan wajib diubah. Renungkan !


Monday 2 January 2012

Ustaz Azhar Idrus bersama anak muda..



Insya Allah..Nantikan Kedatangan Ustaz Azhar Idrus ke Dataran Ikhwan,air mawang.

Fakir Miskin di Johol perlukan bantuan ...

PAS Dun Johol sebelum ini pernah menziarahi keluarga ini dan memberikan bantuan sekadar kemampuan. Kita sedang berusaha untuk membantu keluarga ini membina rumahnya sendiri Untuk maklumat lanjut sila rujuk laporan sebelum ini.

Untuk membantu keluarga ini hubungi

Roos Noor Faizli b Razali ( 012-2682373 )
Kampung Kepis Hilir, 71300 Johol, Negeri Sembilan.

http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/berteduh-di-pondok-usang-1.15514

Berteduh di pondok usang
Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN
Tarikh : December 30, 2011
Berteduh di pondok usang
KEPIS – Satu keluarga ­ter­paksa menumpang teduh di pondok usang milik ­penduduk kampung selepas kehilangan tempat berlindung setelah rumah mereka ­ terbakar pada Oktober lalu di Kepis Baru, dekat sini.

Roos Noor Faizli Razali, 30, bersama isteri, Zubina Ramli, 31, dan empat anak ­berusia antara 3 hingga 9 ­ tahun hidup dalam kegelapan hampir setiap hari dan ­menahan kesejukan disebabkan pondok usang berkenaan yang sudah bocor, selain tiada bekalan air.

Roos Noor berkata, ­kehidupan dia sekeluarga ­semakin susah, lebih-lebih lagi dia turut hilang punca pendapatan.

“Pada mulanya saya ­bekerja sebagai penoreh getah dengan pendapatan RM600 sebulan di tanah orang, tetapi apabila tanah itu sudah ­ diambil semula oleh tuan tanah, saya memang hilang punca pendapatan.

“Buat masa ini, saya hanya mengutip botol untuk dijual. Bukan tidak pernah terlintas untuk mencari kerja lain, ­tetapi memikirkan isteri dan anak-anak, saya terpaksa membataskan pergerakan,” katanya yang terpaksa mengangkut air dari rumah emaknya setiap hari untuk kegunaan harian.

Menurutnya, dia sudah pun membuat permohonan bantuan Skim Perumahan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) selepas rumahnya terbakar.

“Tetapi sudah tiga bulan masih tiada sebarang jawapan diterima.

“Jika ada rumah yang ­selesa, saya tidaklah bimbang untuk meninggalkan isteri dan anak-anak dalam kegelapan,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, pondok usang yang didiami kini sudah lama ditinggalkan kerana sudah ­banyak dinding kayu sudah reput.

“Kami hanya menggunakan bahagian depan sahaja manakala bahagian dapur ­tidak boleh diduduki kerana sudah roboh.

“Rumah didiami ini tidak ­mempunyai tingkap, jadi kami ­terpaksa menahan kesejukan pada ­setiap kali hujan ­terutama pada waktu malam. Saya ­ amat berharap ada pihak yang sudi membantu kami sekeluarga,” kata­nya.