Hujjah kerana Allah

Type a nickname into the box and then press the connect button to start chatting!

Free chat provided by CentralChat.

Wednesday 11 January 2012

Antara Imam 5 minit dan Imam 5 Tahun..?


Antara Imam 5 minit dan Imam 5 tahun.

Mungkin tidak sukar untuk memahami ayat ini. Imam 5 minit adalah gambaran imam solat yang tempohnya tidak begitu lama memimpin satu solat fardu, namun pemilihannya sangat ditekankan agar yang dipilih menjadi imam benar-benar layak dan berilmu. Imam mesti di kalangan mereka yang baik bacaannya, alim fiqhnya dan tidak melakukan dosa besar. Di mana sahaja kadang-kadang imam jauh lebih dihormati dan disegani berbanding pemimpin masyarakat. 

Imam 5 tahun pula adalah gambaran kepada pemimpin yang dipilih melalui pilihanraya setiap 5 tahun (atau kurang). Peranannya lebih besar dalam mencorak sebuah negeri dan Negara. Mereka yang membentuk dan menggubal dasar sama ada menjadikan Negara lebih baik atau sebaliknya. Di dalam Negara demokrasi seperti Malaysia, pemimpin yang dipilih biasanya mewakili parti tertentu untuk membentuk sebuah kerajaan. Justeru, melalui pilihanraya rakyat akan memilih pemimpin bukan sekadar menilai kelayakan individu yang menjadi calon bahkan juga pertimbangannya adalah melihat kepada parti yang diwakili atau salah satu daripadanya.
Kedua-dua imam ( pemimpin ) ini mempunyai persamaan. Kedua-duanya memikul amanah. Amanah yang hakikatnya dipilih oleh Allah untuk dipikulnya. Biarpun pilihan itu dilihat dengan usaha makhluk hakikatnya amanah itu adalah pilihan dari Allah untuk menguji sejauh mana nilai kehambaan di dalam memikul amanah tersebut. Kedua-duanya layak ke syurga dengan amanah tersebut begitu juga sebaliknya. Bahkan dengan amanah berat itu menjadikan kedudukan mereka lebih tinggi berbanding orang lain sekiranya bertakwa kepada Allah SWT.

Amanah menentukan kejayaan dan kesejahteraan. 'Skil' yang hebat tanpa sifat amanah yang kuat tidak akan memberi kebaikan. Justeru, dalam memilih imam 5 minit dan imam 5 tahun bukan hanya persoalan 'skil' sahaja yang menjadi penekanan bahkan yang lebih penting adalah sifat amanah dalam diri mereka. Membangun nilai dalam sebuah masyarakat memerlukan pemimpin yang amanah di dalam melaksanakan tugas. Tidak hanya dengan skil yang hebat. Lihat sahaja contoh bagaimana seorang pemimpin yang punya latar belakang dalam bidang ekonomi, gagal mengurus ekonomi dengan baik  akibat tidak amanah. Begitu sebaliknya, walau tidak punya kemahiran namun kerana prinsip amanah yang diamalkan mampu menyelamatkan. 

Di dalam Islam seorang pemimpin itu juga adalah imam untuk rakyatnya. Justeru, kelayakan menjadi pemimpin itu jauh lebih ketat berbanding menjadi imam dalam solat. Cuma bila masyarakat dilanda sindrom 'tak kisah' menyebabkan sesiapa pun boleh dipilih menjadi pemimpin mereka untuk lima tahun sedangkan dalam urusan memilih imam 5 minit mereka begitu teliti memerhati. Seperti Imam Solat juga apabila mereka melakukan kesalahan mereka boleh ditegur untuk memperbaiki kesilapannya, Imam 5 tahun juga begitu. Mereka mesti ditegur apabila melakukan kesalahan bukan terus mengampu dan memuji sehingga membinasakan diri pemimpin itu dan seluruh rakyat. Apabila imam 5 minit terbatal dan hilang kelayakan maka makmum mesti mengambil alih agar solat Jemaah itu diteruskan.  Sebegitu juga imam 5 tahun yang kita lantik, bila mereka hilang kelayakan dan melakukan penyelewengan kita tidak boleh terus membiarkannya. Mereka wajib diganti dan wajib diubah. Renungkan !


No comments: